Memperkukuh kesalinghubungan, memacu inovasi, galak pertumbuhan inklusif





Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman






KUALA LUMPUR, Selasa, 28 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-28 dan Majlis Penandatanganan Perjanjian Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre, hari ini.


Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.


Pada Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-28 ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah, mengiktiraf sejarah panjang antara ASEAN dan China, termasuk China Sebagai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN yang pertama.


Dalam hal ini, baginda menyatakan bahawa naik taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0), bukan sahaja akan memperdalam kerjasama dalam bidang-bidang utama Revolusi Perindustrian Ke-4 tetapi juga mengukuhkan kesalinghubungan, memacu inovasi dan menggalakkan pertumbuhan inklusif yang akan menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di seluruh rantau ini.


Di samping itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengalu-alukan lebih banyak pertukaran untuk memupuk sikap saling mempercayai, menghormati dan persefahaman dalam kalangan rakyat dan seterusnya mengalu-alukan ASEAN-China Tahun 2026 bagi menandakan Ulang Tahun Kelima Perkongsian Strategik Komprehensif.


ASEAN telah memeterai perjanjian naik taraf ACFTA 3.0, yang meningkatkan perdagangan antara ASEAN dan Republik Rakyat China.


China merupakan rakan perdagangan terbesar ASEAN selama 16 tahun berturut-turut manakala ASEAN adalah rakan perdagangan utama China sejak lima tahun lepas. Majlis Penandatanganan ini disaksikan oleh Ketua-ketua Negara dan Kerajaan ASEAN dan Republik Rakyat China.


Close